Isnin, 31 Oktober 2016

PENYELUDUP TERJUN LAUT ELAK DITAHAN

Tawau: Polis Tawau merampas 7,030 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM894,722 dalam serbuan di rumah tidak bernombor di Kampung Sungai Buaya, di sini, kira-kira 8 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) Tawau menjalankan serbuan ke atas rumah itu.

“Dalam serbuan itu, kita menahan lelaki yang sedang sibuk mengangkat kotak berisi rokok dipercayai diseludup untuk diedarkan bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan manakala rakan suspek sempat melarikan diri selepas terjun ke laut.

“Hasil pemeriksaan, menemui 7,030 karton rokok pelbagai jenama yang disimpan dalam 120 kotak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, nilai rampasan dianggarkan RM151,820 dan nilai selepas cukai RM894,722.

“Kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam.

“Polis Tawau sentiasa agresif bagi mengekang masalah penyeludupan daripada menjadi serius di daerah ini.

“Justeru orang ramai diminta sentiasa menyalurkan maklumat jika mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan khususnya di daerah Tawau,” katanya.

(myMetro)
banner
Previous Post
Next Post

0 ulasan: