Isnin, 31 Oktober 2016

LAPORAN TREN KARGO TERGELINCIR MINGGU DEPAN

KUALA LUMPUR: Laporan lengkap berhubung insiden tren kargo tergelincir di KM200.332 dekat Stesen Batu Gajah, Perak, Jumaat lalu akan dikeluarkan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kejadian.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menubuhkan jawatankuasa dalaman pada 29 Oktober lalu, sehari selepas kejadian berlaku untuk menyiasat punca kejadian.

Beliau berkata, laporan itu akan mengenal pasti sama ada insiden berkenaan disebabkan kelemahan teknikal atau kecuaian manusia.

“Kejadian tren tergelincir jarang berlaku di negara ini…dalam kejadian di Batu Gajah itu, ia (tren) bergerak masuk ke tempat penyelenggaraan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) biasa.

“Sebab itu kita sedang menyiasat sama ada ia membabitkan kelemahan teknikal atau kecuaian manusia…dalam konteks ini saya yakin dalam tempoh 14 hari, ia dapat merungkai segala-galanya,” katanya menjawab soalan tambahan Dr Nor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) pada sesi khas waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Jumaat lalu perkhidmatan tren di laluan utara dan selatan mengalami gangguan akibat tren kargo di tergelincir di KM200.332 antara Kota Bharu-Lahat di Stesen Batu Gajah, Perak.

Kejadian jam 3.15 pagi itu berlaku ketika tren kargo itu dalam perjalanan dari Kuang, Selangor menghala ke Tasek di Perak untuk mengambil muatan simen.

Dua lokomotif dan 25 gerabak kosong tergelincir dan menghalang kedua-dua landasan.

Menjawab soalan asal V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Ab Aziz, berkata untuk memastikan kelancaran operasi Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) bagi laluan yang terjejas ekoran kejadian itu, 36 bas disediakan bagi memindahkan pengguna bagi laluan Kampar-Ipoh-Kampar sebelum penumpang menyambung perjalanan.

Beliau berkata, pada masa sama, KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan landasan dan mengalihkan gerabak tergelincir yang menghalang laluan bagi kedua-dua arah utara-selatan.

“Satu landasan dapat dibuka untuk operasi tren jam 3 petang, 30 Oktober lalu, manakala satu lagi landasan dijangka siap dibaiki dalam masa tujuh hari,” katanya.

(BHONLINE)
banner
Previous Post
Next Post

0 ulasan: