Isnin, 31 Oktober 2016

31,476 PEKERJA DIBERHENTIKAN SEJAK AWAL TAHUN

KUALA LUMPUR: Seramai 31,476 pekerja ditamatkan perkhidmatan bagi tempoh 1 Januari hingga September tahun ini, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Muttalib.

Daripada jumlah itu, 17,051 atau 54.2 peratus pekerja terbabit dalam pemberhentian biasa, manakala bakinya, 14,425 pekerja atau 45.8 peratus terbabit dalam pemberhentian secara sukarela (VSS).

Sepanjang tahun lalu, seramai 44,343 pekerja diberhentikan membabitkan 24,452 pekerja atau 55.1 peratus bagi pemberhentian biasa, manakala 19,891 orang atau 44.9 peratus (VSS).

Ismail berkata, pelbagai sektor pekerjaan terbabit dengan pemberhentian pekerja, antaranya kewangan dan insuran membabitkan 17,628 pekerja, pembuatan (9,203), pengangkutan dan penyimpanan (6,512), hartanah dan perkhidmatan perniagaan (24,452).

“Kerajaan bersimpati dengan nasib pekerja terbabit dan pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi membantu mereka mencari pekerjaan lain.

“Pemberhentian kerja tidak boleh dielakkan…antara faktor majikan memberhentikan pekerja ialah disebabkan ketidakstabilan pasaran ekonomi nasional dan global, tiada atau merosotnya permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan, pengoptimaan teknologi komunikasi maklumat, penutupan perniagaan sepenuhnya atau sebahagian, pengecilan tenaga kerja, pengambilalihan syarikat, penstrukturan semula organisasi dan penggabungan syarikat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang meminta penjelasan sama ada kemelesetan ekonomi dunia memaksa pekerja diberhentikan atau ditamatkan perkhidmatan mereka.

Ismail berkata, kementerian sudah melakukan pelbagai usaha untuk memastikan pekerja tidak hilang sumber pendapatan termasuk menganjurkan karnival pekerjaan yang akan diadakan pada 5 November ini di sembilan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Karnival kerjaya di UTC Alor Setar, Ipoh, Pudu, Bandar Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu itu disertai 280 majikan yang bersedia menawarkan 15,000 jawatan kosong.

(BHONLINE)
banner
Previous Post
Next Post

0 ulasan: